Manfaatkan kemudahan PKM – Rina

Rina.jpg

Rina (lima, kiri) pada Majlis Perasmian dan Pelancaran PKM Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan. (Kredit foto: FB Rina Hj Jainal)

Kongsi Bersama

TAWAU: Masyarakat diseru memanfaatkan kemudahan pusat khidmat masyarakat (PKM) yang khusus disedia sebagai tempat rujukan pelbagai perkhidmatan bantuan termasuk kebajikan, kaunseling dan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan, Rina Jainal berkata, PKM juga menjadi platform untuk menyalurkan sebarang bentuk aduan dan masalah dihadapi komuniti seperti parit tersumbat, jalan raya berlubang, isu sampah dan lampu jalan tidak berfungsi.

Menurutnya, pusat berkenaan juga menjadi pusat sehenti penganjuran pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi yang membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental penduduk sekaligus mengukuhkan ikatan sesama ahli komuniti.

Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan lagi Majlis Perasmian dan Pelancaran PKM Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan. (Kredit foto: FB Rina Hj Jainal)

“Dalam situasi kecemasan atau bencana, PKM berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan bantuan bagi memastikan bahawa mereka yang terjejad menerima sokongan yang diperlukan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran PKM Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan di Gelanggang Bola Tampar Taman Victoria di sini pada Sabtu.

Katanya, bagi pelancaran PKM DUN Kukusan berkenaan ianya adalah manifestasi komitmen untuk mendekati dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Saya akan menempatkan ketua masyarakat secara bergilir bagi memastikan segala maklumat dapat diterima masyarakat Kukusan secara terus daripada mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rina menyarankan semua komuniti penduduk di DUN Kukusan menubuhkan bomba komuniti sebagai usaha mencegah kejadian kebakaran dan langkah awal menangani kejadian tidak diingini itu.

“Setakat ini di Kukusan kita telah menyerahkan borang kepada tiga jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) iaitu Kg. Muhibbah Raya, Kg Jawa dan Kg Airport Lama,” ujarnya.

Pada majlis itu Rina turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) kepada mangsa kebakaran, penyerahan kanopi dan sumbangan wang kepada ahli bomba komuniti Kg Titingan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top