KOTA KINABALU: Ketiadaan gambar Pengerusi PKR Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam pada papan iklan gergasi yang dipasang di persimpangan Sutera Harbour, di sini, jelas menarik perhatian sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan politik negeri ini.
Papan iklan itu dipasang bersempena Konvensyen Tahunan Ke-25 (siaran langsung) dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam (Ahad, 21 April).
Terpapar pada papan iklan itu adalah gambar tiga pemimpin utama PKR Pusat iaitu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Turut terpampang adalah 15 ketua cabang PKR Sabah yang menolak kepimpinan Dr Sangkar selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Bagaimanapun dipercayai papan iklan itu dipasang oleh ahli bukannya pimpinan parti.
Media sebelum ini melaporkan berlaku kemelut dalam kepimpinan PKR Sabah sehingga memaksa Anwar campur tangan.
Pada Sabtu Anwar telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PKR negeri termasuk Dr Sangkar dan beliau dalam kenyataannya berkata kemelut itu akan diputuskan dalam masa terdekat.