Malim Gunung Tanam Sayur, Buah-Buahan Sara Kehidupan

malim-gunung.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 mendorong beberapa malim gunung mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai alternatif bagi menjana pendapatan.

Abdul Hasnin Kasim, 49, dari Kundasang berkata beliau menanam sayur-sayuran tanah tinggi seperti brokoli dan kubis bunga di tanah seluas 0.5 hektar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

Beliau berkata walaupun pendapatan menjual sayur-sayuran tidak konsisten pada setiap bulan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu meneruskan kelangsungan hidup sementara aktiviti pendakian dibenar beroperasi kembali.

“Saya menjual hasil tanaman sayur-sayuran di pekan Kundasang. Pendapatan sebulan sekitar RM400 hingga RM500 sahaja. Memang agak kecil, tetapi saya bersyukur masih ada rezeki untuk meneruskan hidup,” katanya kepada Bernama di sini.

Abdul Hasnin yang menjadi malim gunung hampir 16 tahun berkata beliau sangat merindui suasana bertugas membawa pelancong mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dan tidak sabar-sabar untuk memulakan pendakian apabila aktiviti itu dibuka kelak.

Seorang lagi malim gunung Japarin Ginsos, 43, berkata beliau memanfaatkan masa sepanjang PKP dengan menanam nanas dan hasilnya dijual di sekitar Kota Belud, Ranau serta Kota Kinabalu pada harga RM1.80 hingga RM2 sekilogram.

Japarin yang berasal dari Kota Belud memulakan projek menanam nanas sejak PKP pertama dan dalam tempoh setahun, beliau sudah boleh menuai hasil tanaman yang dapat menampung keperluan keluarga.

“Sekali menuai boleh dapat sehingga 200 kilogram nanas dengan anggaran pendapatan kira-kira RM500 sebulan. Agak memberangsangkan tetapi masih memerlukan lagi usaha untuk memastikan hasil tanaman nanas lebih berkualiti,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Inisiatif sama turut dilakukan seorang malim gunung wanita Suzana Bulangai, 48, yang menanam dan menjual nanas di Kota Belud bagi menjana pendapatan.

Beliau yang menjadi malim gunung sejak 2018 berharap program vaksinasi di Sabah berjalan lancar bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok tercapai supaya aktiviti pelancongan dapat beroperasi semula.

Sejak negara dilanda wabak COVID-19, Gunung Kinabalu ditutup beberapa kali kepada pendaki dengan terbaharu pada 1 Jun lepas sehingga kini. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top