Malaysia tidak lupa pengorbanan wira perang Australia dan New Zealand di Sandakan

Tugu-Sandakan.jpg

Kredit foto: FB Vacamania

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Malaysia tidak pernah melupakan pengorbanan wira perang Australia dan New Zealand semasa Perang Dunia Kedua khususnya di Sandakan dan pengajaran daripada sejarah itu akan disampaikan kepada generasi baharu.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata kenangan mengenai kisah tawanan perang yang menderita dan terkorban semasa kejadian kawad maut yang terkenal itu terukir di Taman Peringatan Sandakan.

“Lebih 2,400 askar bersekutu kebanyakannya dari Australia dan New Zealand memulakan perjalanan (dalam kejadian itu), namun hanya sedikit yang dapat kembali, kita diingatkan bahawa kebebasan yang dinikmati hari ini dibayar dengan nyawa mereka.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk mengingati legasi mereka agar lebih komited kepada keamaan, persefahaman dan menjaga maruah semua manusia,”katanya pada Majlis Hari Kor Tentera Australia dan New Zealand (ANZAC) di Taman Peringatan Sandakan kelmarin.

Wong juga mahu supaya orang ramai bukan sahaja memperingati tetapi juga belajar daripada kisah lepas dan memupuk ikatan persahabatan serta rasa hormat antara rakyat Malaysia, Australia dan New Zealand.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Australia Matt Thistlethwaite yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Veteran negara itu berkata dengan adanya taman peringatan dan sambutan Hari ANZAC di sini, membuktikan komitmen dan tanda ikatan dan persahabatan yang kukuh antara Malaysia dan Australia.

“Terima kasih atas penghormatan dan khidmat anda kepada rakyat Australia di sini hari ini. Terima kasih kepada bandar Sandakan kerana mengalu-alukan kedatangan kami dengan begitu baik dan membantu rakyat Australia memperingati wira-wira kami yang terkorban.

“Hari ANZAC ialah hari peringatan kebangsaan kami dan ia merupakan hari yang menyatukan rakyat Australia di seluruh dunia dalam memberi penghormatan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah berkhidmat untuk negara kami, tempat ini dianggap suci buat kami warga Australia,” katanya

Beliau juga berterima kasih dan memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia yang telah membantu tentera Australia dan British semasa tempoh sukar itu dan amat teruja untuk berada bersama-sama keturunan rakyat Malaysia yang telah menunjukkan keberanian tinggi serta pengorbanan yang besar dalam membantu askar Australia semasa Perang Dunia Kedua.

Matt berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ikatan antara Malaysia dan Australia telah bertambah kukuh dengan penubuhan Perkongsian Ekonomi Komprehensif berhubung perdagangan dan pertahanan, namun yang paling penting ialah hubungan rakyat antara kedua-dua negara.

Hari ANZAC yang diadakan setiap tahun untuk memperingati pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia Kedua berlangsung di Taman Peringatan Sandakan pada Khamis, dengan dihadiri kira-kira 100 orang termasuk wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Australia.

Pada Januari 1945, tentera Jepun mengarahkan 455 tawanan perang Australia dan British untuk berarak dari Sandakan ke Ranau dan pada Mei 1945, sebanyak 800 lagi diarahkan berbuat demikian, manakala 288 lagi ditinggalkan di kem di Sandakan dan akhirnya meninggal dunia. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top