Malaysia Terkenal Kerana Kemajmukan dan Keharmoniannya – SSK

SSK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Malaysia yang mempunyai lebih 80 etnik terkenal di mata dunia kerana keunikan bangsa dan penduduknya yang mampu hidup dengan harmoni dan aman damai.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata keunikan itu terserlah apabila masyarakat majmuk di negara ini benar-benar mengutamakan perpaduan nasional.

“Ini termasuk saling memahami asal usul, menghormati serta menerima budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap bangsa,” katanya.

Salleh berkata demikian ketika ditemuramah oleh The Malaysian Insight mengenai kebanggaan negara paska kemerdekaan tersebut.

Petikan temuramah itu dimuatnaik di media sosial Youtube hari ini.

Salleh berkata kejayaan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama itu merupakan kebanggaan jutaan rakyat negara ini yang menyambut Hari Malaysia pada 16 September (Khamis) ini.

Selain itu, beliau turut memuji amalan kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini.

“Selaku bekas Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia saya merasakan kebebasan bersuara adalah penting bagi memberi hak kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka tentang pelbagai isu termasuk isu politik.

“Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan sepatutnya tiada halangan buat rakyat untuk menyatakan pandangan mereka.

“Perubahan yang paling ketara dilihat adalah siaran langsung sidang parlimen, media lebih bebas melapor termasuk “menegur” kerajaan, dan luahan atau idea yang disalurkan rakyat di media sosial turut didengar dan diperhalusi oleh pemimpin-pemimpin,” katanya.

Bagaimanapun, Salleh berharap tidak ada pihak meyalahgunakan platform yang diberikan atas nama kebebasan bersua­ra.

Beliau turut menzahirkan harapan agar pembentukan gagasan Malaysia dapat mengatasi cabaran strategik yang dihadapi sejak kelahiran sebuah negara merdeka.

Salleh berkata ini termasuk memastikan kesamarataan dalam bidang ekonomi. Penambahbaikan harus dalam melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama dengan mewujudkan perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.

“Ia mestilah bermaksud imbangan adil dari segi penyertaan dan sumbangan semua kaum – termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak – dalam sektor ekonomi kita yang cepat membangun dan moden. Selain itu, agihan yang adil dari segi kawalan, pengurusan dan hakmilik ekonomi moden,” katanya. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top