Malaysia Perlu Tegas, Elak Filipina Terus Politikkan Sabah

tengku-fuad-peguam-sabah.jpg

Tengku Fuad

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peguam Undang-Undang Perlembagaan, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, sudah tiba masanya Malaysia memperjelaskan bahawa Sabah berada dalam Malaysia.

Menurutnya, perkara itu perlu ditegaskan supaya kedudukan berhubung kedaulatan Sabah yang sering dipolitikkan kerajaan Filipina dihentikan.

“Di bawah Mahkamah Manila jawapan sepatutnya ialah Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia, selagi kerajaan Filipina berterusan mempolitikkan kedaulatan Sabah, kerajaan Malaysia tidak tegas untuk menjawab persoalan itu.

“Isu mengenai Sabah sebahagian daripada Filipina akan terus berulang dan tiba masanya untuk Sabah dan Malaysia memperjelaskan bahawa Sabah berada dalam Malaysia dan persoalan itu harus dihentikan.

“Malaysia ambil langkah untuk lawan dan pastikan ‘award’ ini tidak diiktiraf. Sudah tentu kita tidak boleh dedahkan strategi kita sebab ia proses perundangan yang sukar dan Sekretariat Khas ini sedang lakukan yang terbaik dan kita dapatkan bantuan peguam terbaik di luar negara dan kita yakin Malaysia akan lawan serta mengatasi tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama panel Sekretariat Khas berhubung isu tuntutan berkenaan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.

Tengku Fuad merupakan salah seorang panel Sekretariat Khas tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berpandangan bahawa tiada lagi isu tuntutan terhadap Sabah daripada pihak luar apabila Malaysia ditubuh pada 1963.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menegaskan bahawa menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia telah membatalkan apa saja perjanjian yang telah dibuat oleh British sebelum ini.

“Pada saya kita ada interpretasi yang berbeza seperti mana yang saya nyatakan, pandangan saya pada sesi hari ini ialah interpretasi sebagai generasi muda pimpinan Sabah iaitu laporan dan dapatan Suruhanjaya Cobbold dan seterusnya Perjanjian Malaysia.

“Penubuhan Persekutuan Malaysia itu telah membatalkan apa saja perjanjian yang dibuat oleh penjajah North Bornei sebelum itu dan ini adalah pendirian yang saya akan bawa,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya selepas mendengar sesi libat urus itu bersama panel Sekretariat Khas berhubung isu tuntutan berkenaan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.

Ewon dalam pada itu turut menegaskan bahawa penubuhan Persekutuan Malaysia telah melalui proses yang betul dan negara ini berhak untuk membangun tanpa sebarang tuntutan dari pihak luar.

“Ertinya tidak ada soal tuntutan sebenarnya, sebab Filipina pun diberi ruang untuk memberi pandangan dan negara-negara yang bersempadan dengan Sabah juga telah diberi peluang pada ketika itu untuk memberi pandangan terhadap cadangan penubuhan Malaysia.

“Ia telah melalui proses yang betul sebuah Persekutuan yang baharu telah ditubuhkan pada 16 September 1963 dan negara yang baharu itu berhak untuk membangun tanpa sebarang tuntutan yang telah terbatas ataupun tidak wujud, bagi saya tuntutan itu tidak ada selepas 1963,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee pula berpendapat menerusi taklimat itu, beliau yakin Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk mengetepikan tuntutan daripada waris yang mendakwa daripada kesultanan Sulu.

“Kalau ikut taklimat daripada pakar-pakar peguam, memang kita punya peluang cerah, bagus untuk menang bagi forum antarabangsa

“Jadi kita harap kes ini selesai dan kita bergerak ke hadapan,” katanya yang juga merupakan ADUN Dilantik.

Sebelum itu, isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dikaitkan dengan award atau anugerah diperoleh pihak terbabit dari mahkamah timbang tara antarabangsa dalam hal berkaitan tuntutan terhadap Sabah. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top