Malaysia, Indonesia mulakan Eksesais Kekar Malindo di Tawau, Kalabakan

kekar-malindo-1.jpg

(Kredit foto: FB Markas 13 Briged)

Kongsi Bersama

TAWAU: Sebanyak 647 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia serta Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia memulakan Eksesais Kekar Malindo yang dilaksanakan sekitar Tawau dan Kalabakan, semalam.

Menurut Bernama, Panglima Briged ke-13 Infantri Malaysia Brig Jen Hashim Osman berkata eksesais bilateral selama sembilan hari itu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan Malaysia dan Indonesia dalam latihan secara gabungan untuk konteks peperangan konvensional di fasa ofensif.

“Selain meningkatkan persefahaman serta hubungan baik kerjasama latihan bilateral seumpama akan dapat meningkatkan tahap kompetensi pegawai dan anggota dari segi taktik dan prosedur membabitkan aspek teknikal,” katanya berucap pada pembukaan Eksesais Kekar Malindo siri 46AB/2023 di Kem Kukusan di sini.

Katanya, konsep eksesais adalah latihan silang serta latihan medan, justeru pasukan pasukan bantuan tempur Formasi 5 Divisyen seperti armor, jurutera dan artileri medan selain elemen-elemen bantuan khidmat di bawah naungan Briged ke-13 Infantri Malaysia juga terlibat bagi merealisasikan keupayaan tempur semasa.

Hashim berkata konsep ‘learn and relearn’ perlu sentiasa diadaptasi serta diaplikasi dalam setiap latihan yang dilaksanakan, dan eksesais secara gabungan seumpama itu merupakan medium terbaik mengenal pasti kelemahan atur gerak meningkatkan kesefahaman taktikal kedua-dua negara.

Sementara itu, Komandan Batalion Infantri 613 Raja Alam, Tarakan, Indonesia, Let Kol Danan Wisnubrata berkata eksesais itu mewujudkan hubungan bilateral yang dilandasi rasa saling percaya dan hormat selain meningkatkan ilmu ketenteran antara perajurit dua negara.

Briged ke-13 Infantri Malaysia dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan eksesais itu diadakan hingga 1 Nov ini.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top