Malam ini cari tempat gelap dan dongaklah ke langit

hujan-meteor.jpg

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kejadian dijangka berterusan sehingga subuh pagi esok (13 Ogos 2024),

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jika anda peminat sains astronomi malam ini carilah tempat gelap dan dongaklah ke langit kerana anda berkemungkinan besar berpeluang menyaksikan sendiri fenomena angkasa unik dikenali sebagai hujan meteor Perseids malam ini.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kejadian dijangka berterusan sehingga subuh 13 Ogos dengan purata 100 meteor per jam melintasi langit negara ini.

Kenampakan hujan meteor ini di Malaysia diramalkan adalah baik kerana bulan akan terbenam tengah malam semasa waktu kemuncak fenomena ini berlaku.

Para peminat boleh melihat purata 100 meteor sejam, atau kira-kira dua meteor seminit, semasa puncak paparan.

Walaupun hujan meteor boleh dilihat dengan mata kasar, namun mereka yang ingin memerhatikan fenomena ini dengan terang, disaran mencari kawasan gelap dan paling baik jauh dari sebarang isu pencemaran cahaya.

Hujan itu muncul secara rutin apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan planet ini perlu merentasi laluan orbit komet Swift-Tuttle yang nukleusnya berdiameter 26 kilometer.

Jasad samawi bintang berekor asap itu kelazimannya mengambil masa selama 133 tahun melengkapkan satu pusingan orbit dan kali terakhir pernah mendekati bumi pada 1992.

Komet ini diramalkan menghampiri bumi sekali lagi pada tahun 2126 namun ia sering mengorbit mendekati matahari yang menyebabkan debu-debunya dibebaskan.

Keadaan tersebut ekoran proses pemejalwapan yang kemudian berserakan membentuk laluan dipenuhi sisa komet berkenaan dan akhirnya debu memasuki atmosfera bumi pula.

Tinggalan komet tersebut, akan terbakar sebelum membentuk jalur bersinar yang cukup panjang seumpama imej curahan hujan meteor di langit bumi.

Pancuran meteor Perseids sudah lama dicerap manusia lebih 2,000 tahun dan dinamakan kerana titik asalnya muncul dari buruj Perseus, bersempena wira mitos legenda Yunani.

Ia dianggap hujan meteor yang paling lebat dan lazimnya muncul di angkasa terutama kawasan hemisfera utara planet ini dari setiap pertengahan Julai sehingga akhir Ogos.

Setakat ini, rekod pencerapan kadar kemuncak hujan meteor Perseids paling banyak ialah 173 meteor sejam pernah dicatatkan saintis astronomi antarabangsa pada 13 Ogos 2009.-

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top