Makmal, Stor Wad TB Musnah Akibat Tanah Runtuh

IMG-20210905-WA0002.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Makmal dan stor wad Tuberkulosis (TIBI) Hospital Queen Elizabeth musnah akibat tanah runtuh kira-kira pukul 11 malam kelmarin disebabkan hujan lebat sejak dua hari lalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja selenggara sedang dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya (DBKK) dan syarikat Sedafiat bagi menstabikan keadaan cerun sebelum kerja-kerja pembaikan seterusnya dapat dilakukan pada masa terdekat.

“Saya dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada lewat malam kelmarin, dan pagi ini saya mengambil inisiatif untuk melihat dan meninjau keadaan cerun runtuh di kawasan ini”, kata beliau.

“Kami juga meminta agar pihak Sabah Electricity (SESB) memantau tiang-tiang dan wayar mereka agar dialihkan sebelum kejadian tidak diingini berlaku,” tambah beliau.

Terdahulu, Pengarah, Hospital Queen Elizabeth telah memberi arahan untuk mengosongkan dua blok yang betul-betul hampir dengan kawasan runtuhan agar keselamatan pekerja dan pesakit terjamin. Jumlah kerugian belum dapat dipastikan.

Ditanya mengenai banjir yang melanda Sabah kini, Shahelmey berkata, banjir di Sabah terjadi dua hari lepas kerana negeri ini mengalami keadaan transisi monsun yang memang telah diramalkan daripada bulan September sehingga bulan November tahun ini, namun disebabkan kesan perubahan cuaca maka kadar intensiti hujan agak tinggi dan terjadi banjir kilat di banyak kawasan.

“Saya menyeru agar pihak-pihak berkuasa tempatan memastikan parit dan sungai yang ada sentiasa diselenggara agar apabila terjadinya hujan yang berterusan, maka aliran air hujan dapat disalirkan dengan lebih efisyen,” kata beliau.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top