KOTA KINABALU: Setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Roland Chia menempelak peguam Tan Sri Shafee Abdullah yang mempersoalkan bagaimana ketua menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor tahu mengenai kenyataan anak guamnya kepada pihak berkuasa berkaitan dakwaan skandal perlombongan.
FMT memetik Chia sebagai berkata beliau bingung peguam veteran itu boleh mempertikaikan bagaimana beberapa maklumat sampai kepada Hajiji.
“Dalam siasatan berprofil tinggi, terutama yang melibatkan banyak pihak berkepentingan, maklumat sering muncul dari pelbagai sumber,” katanya.
Chia juga menuduh anak guam Shafee, yang mendakwa pemberi maklumat dalam skandal itu, ‘aktif berhubung’ dengan wakil rakyat, wartawan, dan pihak lain. Oleh itu, katanya, tidak mengejutkan jika perbincangan mengenainya tersebar di luar lingkungan peribadi.
Katanya, Shafee perlu menasihati anak guamnya supaya berhenti menghubungi wakil rakyat dan wartawan, serta membuat ‘tuduhan tidak berasas’ terhadap ketua menteri.
“Integriti siasatan yang sedang berjalan perlu dihormati, dan sebarang cubaan memanipulasi naratif melalui saluran tidak rasmi hanya akan merosakkan keyakinan awam,” kata Chia dalam satu kenyataan.
Semalam, Shafee mempersoalkan bagaimana Hajiji tahu mengenai kenyataan anak guamnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Shafee yang dipetik Malaysiakini berkata beliau terkejut dan ingin tahu bagaimana Hajiji memperoleh butiran yang diklafisikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi itu.
Chia turut membangkitkan kenyataan Shafee sebelum ini, yang mendakwa tindakan Amerika Syarikat terhadap 1MDB merupakan konspirasi untuk menjatuhkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum PRU 2018.
“Berdasarkan hujahnya sendiri, beliau patut pertimbangkan bagaimana maklumat salah dan manipulasi naratif mungkin juga berlaku dalam situasi ini,” kata Chia.
Beliau menambah, cubaan anak guam Shafee untuk berhubung dengan wakil rakyat dan wartawan akan membangkitkan kebimbangan yang sama tentang penyebaran naratif palsu kepada masyarakat.
Pada Jumaat lalu, Shafee mendakwa wujud campur tangan asing untuk mempengaruhi pendapat awam dan menggugat kerajaan yang dipimpin Najib.
Pada Isnin, SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang yang mendakwa pemberi maklumat berhubung maklumat mengenai amalan rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah berhubung kelulusan lesen perlombongan.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pemberi maklumat itu enggan menyerahkan bukti yang dimilikinya.
Kontroversi mengenai dakwaan skandal perlombongan itu dilihat sebagai satu plot untuk menjatuhkan Hajiji. Ia timbul selepas pemberi maklumat tersebut mendedahkan siri video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah.
Umno Sabah menafikan menjadi dalang di sebalik kontroversi itu, namun menggesa Hajiji meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.