Majoriti senyap bakal tentukan masa depan Sabah – Salleh

ssk.jpg

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menegaskan bahawa majoriti senyap akan menjadi faktor penentu dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Dalam hantarannya di Facebook beliau menyatakan bahawa kumpulan ini, walaupun tidak lantang bersuara di media sosial atau ruang awam, memiliki kuasa besar dalam menentukan kerajaan negeri melalui peti undi.

Menurut Salleh, yang juga ADUN Usulan,majoriti senyap terdiri daripada beberapa kumpulan utama pengundi, termasuk:

  1. Pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
  2. Pengundi muda yang memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan dan kestabilan.
  3. Penduduk luar bandar yang menitikberatkan pembangunan serta bantuan kerajaan.
  4. Golongan bandar yang berdepan cabaran kos sara hidup dan ekonomi.
  5. Pengundi sederhana yang menolak politik ekstrem dan lebih memilih kestabilan.

Salleh turut menggariskan beberapa faktor utama yang akan mempengaruhi keputusan undian mereka, termasuk ekonomi, kepimpinan, pembangunan, gabungan politik dan autonomi Sabah.

“Ekonomi, khususnya kos sara hidup yang tinggi dan ketersediaan peluang pekerjaan merupakan isu utama yang membelenggu Sabah,” katanya.

Mengenai kepimpinan pula beliau berkata, kualiti pemimpin dan keupayaan mereka dalam mentadbir negeri akan menjadi pertimbangan utama.

“Kemajuan dalam infrastruktur, pendidikan, dan kesihatan menjadi kayu pengukur, manakala kemampuan parti-parti politik untuk bekerjasama secara harmoni akan mempengaruhi kepercayaan pengundi.

“Seperkara ialah soal autonomi Sabah, di mana akan terus menjadi isu penting dalam kalangan rakyat,” katanya

Dalam kesimpulannya, Salleh menekankan bahawa parti politik tidak boleh mengabaikan suara majoriti senyap. “Mereka bukan sekadar angka dalam statistik pilihan raya, tetapi penentu sebenar hala tuju negeri ini,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa mendengar dan memahami keperluan rakyat harus menjadi keutamaan bukan sahaja semasa tempoh berkempen, tetapi juga selepas memperoleh mandat untuk memerintah.

” Dengan landskap politik Sabah yang semakin dinamik, pilihan raya akan datang dijangka menjadi medan pertembungan sengit di mana sokongan majoriti senyap akan menjadi faktor penentu kepada masa depan negeri ini,” ujar beliau.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top