Majoriti MT UMNO Tak Mahu Pemilihan Parti Ditangguhkan

Kongsi Bersama

Majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menolak penangguhan pemilihan parti itu yang sepatutnya diadakan tahun ini.

Menurut ahli MT UMNOyang enggan namanya didedahkan, usul penangguhan Pemilihan UMNO 2021 dikemukakan salah seorang ahli MT dalam mesyuarat yang berlangsung di Janda Baik, Pahang pada 19 Feb lalu.

Namun katanya, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat berkenaan.

“Bagaimanapun isu berkenaan tidak dibincangkan secara serius kerana ia tiada dalam agenda utama mesyuarat yang berlangsung di Janda Baik.

“Cuma ada MT yang melontarkan cadangan supaya pemilihan UMNO  ditangguhkan. Tapi majoriti ahli MT tidak bersetuju.

“Tangguh seketika kerana Covid-19 MT bersetuju, namun menangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), majoriti beranggapan tidak manis, tidak setuju,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 4 Mac lalu, Malaysiakini melaporkan yang UMNO tidak pernah membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang sepatutnya diadakan tahun ini.

Malah Ahmad Zahid dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita menegaskan untuk mengadakan pemilihan parti itu tahun ini.

Sebelum itu, sebuah portal Suara TV melaporkan UMNO dijangka menangguhkan pemilihan parti tahun ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum yang dijangka selepas tamat darurat pada 1 Ogos nanti.

Berdasarkan perlembagaan UMNO, MT mempunyai kuasa menangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan dari tarikh sepatutnya diadakan pemilihan baru.

Dalam pada itu sumber berkata, cadangan pemimpin UMNO berkenaan yang mahukan pemilihan ditangguhkan kerana tidak mahu ada yang ‘tercedera’, lebih-lebih lagi bagi menghadapi PRU.

Katanya, pemimpin itu berpendapat pemilihan UMNO bukan sahaja sukar dilaksanakan akibat Covid-19, malah ia bagi mengelakkan ‘kecederaan’ yang sekali gus boleh melemahkan parti. – Malaysiakini

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top