PUTRAJAYA: Kumpulan majoriti Melayu Islam di negara ini diingatkan tidak terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan meminggirkan golongan minoriti bukan dianjurkan sebagaimana pengajaran dan pedoman nabi Muhammad SAW melalui perjanjian Madinah.
Katanya, dalam perjanjian itu baginda SAW merangkulkan semua kekuatan kepelbagaian masyarakat asalkan tunduk kepada satu peraturan dan Perlembagaan serta tidak memerangi umat Islam.
Beliau turut mengambil perbandingan dengan negara Kemboja bagaimana sebuah negara majoriti penganut Buddha dapat meraikan dan memberikan penghormatan kepada golongan minoriti 10 peratus umat Islam di sana.
“Ketika lawatan saya ke Kemboja baru-baru ini, saya berbuka puasa bersama Perdana Menteri Kemboja yang menganjurkan majlis iftar dengan 6,000 umat Islam. Umat Islam di Kemboja hanya 10 peratus, tetapi diberi penghormatan dan saya juga diberi peluang memberi ucapan dan ke masjid di sana.
“Saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti penganut buddha memberikan dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan menganjurkan iftar dan beberapa ruang termasuk menteri seorang muslim. Ini sebagai pengajaran kepada kita,” katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Pada 28 Mac lalu, Anwar mengadakan lawatan sehari ke Kemboja antaranya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Hun Sen dan berpeluang berbuka puasa dengan 6,000 orang Islam di Kemboja dalam majlis yang dihoskan oleh Hun Sen.
Beliau berkesempatan bersolat tarawih dan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Al-Serkal.
Baca selanjutnya di: Utusan Malaysia