PUTRAJAYA: Majlis presiden Pakatan Harapan (PH) perlu mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu-isu berkaitan cabangnya di Sabah, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian sebagai respons kepada rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh beberapa anggota PH Sabah baru-baru ini, berikutan gabungan negeri itu kini diterajui oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan bukan PKR.
“Kami belum mengadakan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan.
“Apabila mesyuarat itu diadakan, dan jika terdapat sebarang keputusan mengenai perkara ini, saya akan menyampaikannya kepada media,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis pembukaan Kios Sentuhan Madani di sini pada Khamis.
Isu berkaitan teraju PH Sabah bermula apabila pengerusi negeri Datuk Seri Christina Liew, telah kalah dengan tiga undian kepada presiden Upko, Datuk Ewon Benedick dalam pemilihan yang diadakan pada Disember lepas.
Ada pihak dalam PKR bagaimanapun berhujah pemilihan sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini dan jawatan pengerusi PH negeri adalah kuota PKR.
Kedudukan Ewon juga dipersoalkan kerana beliau mewakili parti yang baru sahaja menyertai PH.
Untuk rekod permohonan UPKO untuk menyertai PH hanya diluluskan pada Ogos 2021 ketika parti itu masih diterajui Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.