SANDAKAN: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun menggesa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berbincang dengan Peguam Negara Sabah berhubung kemungkinan tindakan yang boleh diambil terhadap pemilik bangunan terbiar di sini.
Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pemilik itu menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk lain, dan mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.
“Saya telah meminta mereka (MPS) merujuk kepada peruntukan undang-undang tertentu dengan AG Sabah yang boleh memberi panduan kepada mereka untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk tindakan undang-undang terhadap pemilik yang enggan bekerjasama dalam menyelenggara bangunan mereka.
“Malah, saya juga difahamkan terdapat bangunan yang dijadikan rumah burung walit yang tidak dibenarkan di kawasan perbandaran dan kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pegawai dan anggota MPS serta wakil rakyat dan ketua masyarakat pada Isnin.
Beliau berkata MPS juga harus memberikan tumpuan pada usaha meningkatkan perkhidmatannya bagi mencapai matlamatnya menjadi sebuah majlis bandar raya, dan kementeriannya akan membantu dalam proses itu. – Bernama
Majlis Perbandaran Sandakan Digesa Bincang Isu Bangunan Terbiar Dengan AG Sabah
Komen