Majlis Khas MA63 Adakan Mesyuarat Pertama, Setuju Tubuh Tiga Jawatankuasa

MA63.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengadakan mesyuarat pertamanya semalam dengan meluluskan penubuhan tiga jawatankuasa yang akan mengendalikan pelbagai perkara penting bagi Sabah dan Sarawak.

Ia adalah perlembagaan dan status yang sama; isu keselamatan dan pendatang haram; dan masalah sosioekonomi, termasuk pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam kenyataan hari ini berkata ahli majlis dan Terma Rujukan juga disahkan semasa mesyuarat itu.

Majlis itu dianggotai oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan rakan sejawatnya dari Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, serta lapan menteri kanan Kabinet termasuk Ongkili sebagai Setiausaha dibantu oleh Timbalannya Datuk Hanifah Hajar Taib.

Ketua Setiausaha Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Peguam Negara kerajaan Persekutuan serta Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak, beberapa penjawat awam kanan dan ahli akademik turut menganggotai Majlis Khas itu.

“Ahli (Majlis) diberi taklimat mengenai perkembangan terbaharu tindakan yang diambil berkaitan MA63 serta keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet (mengenai MA63) sebelum ini,” kata Ongkili.

Beliau berkata 17 daripada 21 isu yang dikenal pasti oleh Majlis telah dipertimbangkan secara terperinci manakala empat lagi masih dalam perbincangan.

“Daripada 17 isu, tiga dianggap selesai iaitu duti import balak dan hasil hutan untuk Sabah; isu Pulau Sipadan dan Ligitan di Sabah; serta isu perhutanan.

“Sebanyak 14 lagi termasuk gas, buruh, duti setem memerlukan perbincangan lanjut kerana ia melibatkan pindaan undang-undang dan peraturan.

“Buat masa ini, laporan jawatankuasa khas MA63 tidak akan didedahkan kepada awam kerana hasil perbincangan antara negeri-negeri dengan kerajaan Persekutuan masih belum selesai sepenuhnya. Bagaimanapun, kerajaan negeri dan Persekutuan boleh mendedahkan laporan atau perkara penting yang dipersetujui oleh semua pihak,” katanya.

Pada 9 Sept lepas, Kabinet bersetuju menubuhkan Majlis Khas mengenai MA63 dan ia diumumkan oleh Muhyiddin pada sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 Sept.

 

— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top