WASHINGTON: Draf resolusi dikemukakan oleh Rusia yang menggesa gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin ditolak Majlis Keselamatan PBB pada Isnin.
Teks draf itu telah menggesa gencatan senjata kemanusiaan, pembebasan semua tebusan, akses bantuan, dan pemindahan selamat orang awam.
Resolusi itu menerima lima undi menyokong, empat undi menentang manakala enam undi berkecuali. Negara-negara yang menyokong ialah China, Gabon, Mozambique, Rusia, dan Emiriah Arab Bersatu, manakala Perancis, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat menentang. Enam yang berkecualia ialah Albania, Brazil, Ecuador, Ghana, Malta, dan Switzerland.
Untuk Majlis menerima pakai resolusi, cadangan itu mesti menerima sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong, dengan tiada satu pun daripada lima anggota tetapnya menentang atau mengunakan kuasa veto.
Duta Rusia di PBB Vassily Nebenzia berkata menyatakan kekesalan atas kegagalan Majlis Keselamatan untuk menerima pakai resolusi itu, menyalahkan “niat mementingkan diri blok barat.”
Beliau berkata bahawa delegasi negara-negara Barat “pada dasarnya menginjak” harapan global yang mahu Majlis itu menamatkan keganasan.
“Seluruh dunia menunggu Majlis Keselamatan mengambil langkah-langkah untuk menghentikan pertumpahan darah. Tetapi wakil-wakil negara Barat pada dasarnya telah menghampakan harapan itu,” kata Nebenzia.Sementara itu, duta Palestin ke PBB Riyad Mansour menuduh Majlis Keselamatan PBB sekadar menyaksikan serangan Israel terhadap dua juta penduduk di Semenanjung Gaza selama 10 hari.
Menegaskan bahawa orang awam di Gaza dibunuh, cedera, kehilangan tempat tinggal dan menjadi mangsa keganasan, Mansour berkata tiada satu keluarga Palestin di Gaza yang terkecuali daripada serangan Israel.
“Tiada siapa harus lupa bahawa ini adalah nyawa manusia, nyawa rakyat Palestin juga penting. Dan tiada siapa yang harus melayan ilusi bahawa membunuh lebih ramai penduduk Palestin akan menjadikan Israel lebih selamat,” kata beliau.
Sumber: UN News