Majlis Belia Sabah Mahu 50%-60% Ahli Parlimen Golongan Muda

abqaree-mbs.jpg

Abqaree Fawwaz Abekan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah berharap agar komposisi Dewan Rakyat selepas PRU15 akan menampilkan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus ahli parlimen daripada kalangan golongan muda.

Menurut presidennya Abqaree Fawwaz Abekan keadaan itu akan menggalakkan penyertaan generasi Y dan Z terus ke peringkat demokrasi negara.

“MBS berharap parti politik yang bersaing dapat menawarkan dasar pembangunan yang inklusif, realistik dan berkesan selepas membentuk kerajaan di peringkat persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, Sabah telah mendaftarkan 932,541 pengundi muda berumur antara 18 dan 39 tahun bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jumlah itu mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,689,387 pengundi di Sabah.

Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya, beliau berkata Sabah mencatatkan jumlah pengundi muda kelima tertinggi di Malaysia.

Ini berdasarkan pemerhatian MBS sepanjang pelaksanaan program celik politik (Undi-18) di enam zon di seluruh Sabah tahun ini.

“MBS menganggarkan 70 peratus pengundi muda di Sabah mempunyai tahap pemahaman politik yang rendah dalam konteks pengetahuan sejarah, parti politik dan kepentingan melibatkan diri dalam pentas demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata apa yang jelas ialah golongan belia di Sabah mempunyai keinginan agar suara mereka dibangkitkan oleh pemimpin sebaya bagi menyokong harapan mereka di peringkat nasional.

MBS turut menyeru semua pengundi muda di Sabah memilih pemimpin berdasarkan pertimbangan yang adil dan saksama serta tidak terpengaruh semata-mata dengan sentimen yang sering dimainkan di pentas politik pada setiap pilihan raya.

Ini selaras dengan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengutuk sekeras-kerasnya gejala rasuah yang berleluasa di negara ini.

“MBS menggesa pengundi muda di seluruh Sabah menolak calon yang diketahui terlibat dengan rasuah,” nasihatnya.

Gesaan ini bertepatan dengan kempen belia di peringkat kebangsaan yang digerakkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), Belia Rasuah Busters, katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top