KOTA KINABALU: Kerajaan digesa melaksanakan moratorium pinjaman bank selama tiga bulan tanpa syarat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 (lockdown) dikuatkuasakan.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri (gambar) berkata, perkara berkenaan antara 10 gesaan yang dibuat MBS secara kolektif bersama 17 badan gabungan di Sabah di bawah MBS.
Katanya, perkara lain turut melibatkan bantuan tunai dan juga ‘e-wallet’ yang perlu ditambah dan diperluaskan.
“Kerajaan juga diminta memperkenalkan geran dan pinjaman tanpa faedah untuk usahawan dan ‘freelancer’ belia, wanita, golongan kurang upaya, serta pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Bagi menangani jenayah kekerasan domestik dan jenayah seksual dalam situasi ‘lockdown’, tenaga kerja dan keperluan lain perlu ditambah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kes yang dikenal pasti melalui Talian Nur dan ‘hotline’.
“Pada masa sama, kerajaan perlu menyediakan sokongan dan dana tambahan khusus untuk menyebar luas kempen menggalakkan aktiviti derma darah dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, siaran rancangan pendidikan, motivasi dan keagamaan perlu diperbanyakkan di saluran televisyen nasional dan data tanpa had percuma disediakan untuk pelajar.
Menurutnya, ia bagi memudahkan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) secara formal atau tidak formal sepanjang ‘lockdown’ sepenuhnya dilaksanakan.
“Gerakan badan bukan kerajaan (NGO) hendaklah diperkasakan dalam menyampaikan bantuan kepada golongan tiada dokumen atau berstatus tiada negara (stateless).
“Kerajaan juga digesa supaya mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua rakyat yang mendaftar pengambilan vaksin sama ada di bandar atau luar bandar, serta menggesa pendaftaran vaksin secara alternatif bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet yang baik,” jelasnya.
Pihaknya juga menggesa kerajaan memperbanyakkan program kesedaran mental dalam kalangan masyarakat kerana peningkatan isu kesihatan mental semakin meruncing akibat dari kesan pandemik COVID-19. – UTUSAN BORNEO
Foto: beliasabah.org.my