KOTA KINABALU: Majlis Air Sabah akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan situasi semasa di negeri ini, terutamanya berkaitan keadaan kemarau, musimnya dan masalah pembekalan air.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, mesyuarat yang akan beliau pengerusikan itu penting diadakan, kerana situasi kemarau yang telah dengan jelas kelihatan dengan aras sungai di negeri itu berkurangan antara 10 hingga 40 peratus.
“Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) diminta untuk menyediakan laporan terkini mereka,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAFFI dan Shaanxi Construction Engineering (Malaysia) Sdn Bhd, untuk projek berkaitan tebatan banjir, di sini pada Jumaat.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri berkata, beberapa daerah seperti Papar dan Tambunan terjejas teruk akibat kemarau, terutamanya sawah padi kerana sumber utama air mereka bergantung kepada sungai.
“Buat masa ini, walaupun kesannya tidaklah begitu serius, mesyuarat esok akan membincangkan cadangan bagi menghadapi situasi ini dan tambahan kewangan yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu tambahnya, kerajaan Sabah bercadang untuk memperluaskan kawasan penanaman padi daripada 24,000 hektar kepada 30,000 hektar tahun ini, sekaligus mengurangkan pergantungan negeri terhadap import padi dan menjimatkan ratusan jutaan ringgit, serta memastikan sekutiri makanan di Sabah.
“MoU dengan Shaanxi Construction Engineering hari ini dapat membantu kami untuk mencapai apa yang kami mahukan itu, tetapi tidak dapat dilaksanakan akibat kekurangan dana,” katanya.
MAFFI dalam satu kenyataan selepas program itu memaklumkan bahawa MoU itu menggariskan permulaan kajian untuk menilai kebolehlaksanaan menjalankan projek tebatan banjir, pengairan dan saliran di Sabah.
“MAFFI melihat MoU ini sebagai langkah awal ke arah kemungkinan menjalankan projek tebatan banjir, pengairan dan saliran di Sabah. Bagaimanapun, penting untuk ditekankan bahawa MOU itu tidak menandakan perjanjian pelaburan yang dimuktamadkan atau komitmen daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA