MAIWP salur RM360,000 untuk projek rumah hijau kendalian asnaf

rumah-hijau-asnaf.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan peruntukan sebanyak RM360,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Selatan Labuan (PPKS) bagi pelaksanaan projek rumah hijau.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya berkata enam Rumah Hijau Hidroponik yang setiap satunya berukuran 70 kaki x 18 kaki akan dibina di atas tanah milik MAIWP dan dikendalikan oleh enam asnaf terpilih.

“Projek ini merupakan usaha kerjasama antara MAIWP dengan PPKS ia merangkumi inisiatif komprehensif seperti kursus penanaman, pemantauan kejayaan tanaman dan aktiviti pemasaran,” katanya pada majlis pelancaran Halaman Hidroponik di Kampung Sungai Buton di sini semalam.

Mohd Nizam berkata Rumah Hijau Hidroponik dilengkapkan dengan sistem hidroponik terkini termasuk perpaipan, tangki air, baja, rak, dulang semaian, pendawaian, benih, pasu dan pam air elektrik.

“Dengan setiap satu mempunyai kapasiti untuk menampung 2,000 pasu takungan hidroponik, rumah hijau ini bersedia merevolusikan amalan pertanian,” katanya.

Beliau berkata usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada inovasi teknologi dalam pertanian, tetapi juga mempunyai tujuan yang lebih luas iaitu memupuk sifat keusahawanan dalam kalangan komuniti asnaf.

“Sebagai tambahan kepada infrastruktur yang canggih, kesemua enam usahawan pertanian (asnaf) akan diberikan set peralatan pertanian bernilai RM2,000 setiap seorang,” katanya.

Mohd Nizam berkata pendekatan holistik MAIWP ini mencerminkan komitmen untuk memperkasakan golongan asnaf, meningkatkan potensi mereka dalam sektor keusahawanan dan memastikan kejayaan berterusan dalam bidang pertanian. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top