Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Tan Sri Teo Chiang Hong meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada pengusaha hotel untuk membenarkan orang ramai menginap atau mengadakan mesyuarat di premis berkenaan.
Ia bagi memastikan kelangsungan industri perhotelan yang berdepan kerugian dianggarkan bernilai hampir RM7 bilion ekoran pandemik COVID-19.
Beliau juga berharap kerajaan dapat membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri yang berkemungkinan mampu melonjak pelancongan domestik, sekali gus memberi rangsangan kepada sektor perhotelan.
“Pemilik hotel sangat prihatin mengenai laporan akhbar kelmarin berhubung kenyataan Menteri Kesihatan mahu mengekalkan larangan perjalanan rentas negeri dan daerah, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 18 Februari ini.
“Ini menyebabkan hotel tidak dapat menjana pendapatan sepanjang tempoh PKP dan menanggung kerugian kira-kira RM300 juta dalam dua minggu sejak PKP fasa dua dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 10 Jun hingga 31 Ogos tahun lalu, sektor itu merekodkan kadar penginapan kira-kira 70 peratus atau lebih bagi hotel dan resort di pulau serta berhampiran pantai, manakala kurang 20 peratus bagi premis di kawasan bandar.
Untuk rekod, sebanyak 287 buah hotel telah menamatkan operasi mereka, membabitkan 5,265 kakitangan yang terpaksa diberhentikan antara 1 Januari 2020 hingga 2 Februari lalu. Manakala, kira-kira enam hotel ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Selain itu, kebanyakan pengurusan terpaksa melaksanakan pemotongan 50 peratus gaji kakitangan serta cuti tanpa gaji.
“Kerajaan diharapkan dapat melanjutkan dan memberi bantuan tambahan bagi sektor perhotelan. Antaranya ialah menaikkan kuantum Program Subsidi Upah (PSU) antara RM1,200 hingga RM1,500 tanpa mengehadkan jumlah maksimum bilangan pekerja.
“Selain itu, kerajaan dimohon melanjutkan diskaun 10 peratus bagi bil elektrik dari Mac hingga September depan, moratorium dan beberapa lagi bagi menjamin kelangsungan sektor perhotelan,” harapnya lagi.