Mahkamah UK ‘Halau’ Waris Kesultanan Sulu, Kata Bekas Peguam Negara

tommy-thomas.jpg

Tommy Thomas

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Waris Kesultanan Sulu dikatakan “dihalau” oleh mahkamah British selepas cuba memulakan prosiding arbitrasi di negara berkenaan terhadap Malaysia, kata bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas.

Bercakap dalam forum perundangan, Thomas berkata, peguam mewakili waris Sulu ada menulis kepada Pejabat Peguam Negara, memaklumkan mereka cuba memulakan arbitrasi di Britain bagi menuntut berbilion ringgit berupa pampasan.

“Bila mula-mula mereka menulis kepada kita, mereka ada mengatakan cuba pergi ke UK (United Kingdom) dan UK halau mereka. (Mahkamah UK) Terima nasihat perundangan baik menerusi Kementerian Luarnya,” katanya.

“UK berkata,’Kami tidak ada kena mengena, sila pergi ke mahkamah Malaysia’.”

Beliau menuduh waris Sulu dan arbitrator rakyat Sepanyol, Gonzalo Stampa, sebagai “classic forum shopping” (mencari mahkamah atau perundangan yang memberi kelebihan dalam tuntutan) dan bertindak secara tidak mengikut undang-undang dan tidak munasabah memohon penghakiman di Sepanyol dan kemudian di Perancis.

Berucap dalam forum dalam talian dianjurkan Jawatankuasa Majlis Peguam Kuala Lumpur dan Persatuan Undang-Undang Sabah, pada Isnin, Thomas berkata, surat ditujukan kepada Pejabat Peguam Negara ditulis ketika waris berkenaan memohon penghakiman arbitrasi di Sepanyol.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 2020, memutuskan mahkamah Malaysia, dan bukannya mahkamah Sepanyol, yang sepatutnya menyelesaikan pertikaian yang timbul daripada surat ikatan 1878, yang mana Sultan Sulu melepaskan kedaulatan ke atas kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah.

Thomas mengakui bahawa mahkamah Kota Kinabalu tidak boleh dikuatkuasakan di luar negara dan Pejabat Peguam Negara memohon penghakiman sama di Madrid, Sepanyol.

“Mahkamah Madrid mendengar versi dikemukakan Malaysia (berhubung kejadian) buat kali pertama, dan mahkamah Madrid bersetuju dengan kita dan menolak kesemuanya, dan sebab itulah Stampa terpaksa pergi ke Perancis.

“Inilah ‘classic forum shopping’ dan ianya sesuatu memalukan dalam profesion perundangan apabila mereka melakukannya.”

Pada Feb, Mahkamah Arbitrasi Perancis merekodkan keputusan arbitrator dibuat Stampa bahawa Malaysia perlu membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion (USD14.92 bilion) kepada waris terakhir Sultan Sulu kerana melanggar perjanjian 1878.

Thomas berkata, arbitrasi terbabit sepatutnya dibawa ke mahkamah British kerana perjanjian 1878 membabitkan Syarikat Borneo Utara British. – FMT

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top