KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong dan ordinan yang diluluskan di bawahnya tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, lebih penting ialah Perkara 150 (8) yang menetapkan bahawa keputusan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atas apa-apa juga alasan adalah sah dan mematuhi perlembagaan.
“Lebih penting Perkara 150 (8) menutup pintu mahkamah daripada apa-apa cabaran atau permohonan yang dibuat terhadap perisytiharan itu dan ordinan yang diluluskan,” katanya.
Hakim berkata demikian ketika membenarkan bantahan Peguam Negara terhadap permohonan tiga wakil rakyat yang mencabar penangguhan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Ia merupakan kes pertama daripada lima kes yang menyaksikan pemohon, iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayob, Datuk Johari Abdul dan Abdul Aziz Bari gagal melepas syarat ambang rendah supaya merit aduan mereka didengar. – FMT