Mahkamah Diberitahu Bekas Pengarah Jabatan Air Miliki RM2.62 Juta Dalam 2 Akaun Bank

kompleks-mahkamah-KK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, mempunyai RM2.62 juta dalam dua akaun bank, enam tahun lalu.

Ketua Bantuan Pusat Perkhidmatan Operasi OCBC Bank, Robert Yong berkata, akaun berkenaan masing-masing merupakan akaun premier dan akaun pelaburan bulanan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan tidak mengetahui sebab wang berkenaan didepositkan dalam akaun terbabit, katanya ketika memberi keterangan seperti dilaporkan Daily Express.

Yong berkata, pihak bank menerima notis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang memaklumkan timbalan pendakwa raya mengarahkan pihak berkuasa menyita dua akaun berkenaan.

Katanya, notis itu juga turut menyebut OCBC “tidak boleh memusnahkan atau memindahkan harta yang terdapat dalam akaun berkenaan sehingga notis dibatalkan”.

Tahir, 58, berdepan perbicaraan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalannya, Lim Lam Beng, 66, selepas mengaku tidak bersalah, pada 29 Dis 2016, terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM61.57 juta.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Tahir, Marcel Jude, sama ada sitaan bank akaun berkenaan dibuat “tidak mengikut perundangan”, Yong berkata, beliau tidak tahu.

Pegawai itu juga dilaporkan berkata, beliau tidak mengetahui berapa jumlah “tunai ambang” dan “transaksi mencurigakan” dalam laporan dibuat terhadap akaun Tahir.

Marcel kemudian mendakwa tiada arahan pembekuan dikeluarkan terhadap akaun bank Tahir sebelum arahan sitaan dikeluarkan.

Yong menjawab: “Saya tidak mengetahui proses pembekuan dan sitaan.”

Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Abu Bakar Manat.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top