KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen membenarkan penangguhan sabitan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony dalam kes pemalsuannya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi berkata, beliau membenarkan permohonan itu selepas meneliti afidavit, undang-undang kes serta hujahan bertulis dan lisan oleh peguam Peter dan pihak pendakwaan.
“Saya berpuas hati dan memutuskan untuk membenarkan penangguhan sabitan dan hukuman,” katanya dalam penghakiman lisan ringkas.
Pada Jun, Peter memfailkan permohonan untuk menangguhkan sabitannya supaya dia dapat bertanding untuk kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yang mesti diadakan sebelum September tahun depan.
Pada 26 Mei, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas Peter didapati bersalah memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kerja kontrak penyelenggaraan sistem.
ADUN Melalap itu juga didenda RM50,000, atau penjara 15 bulan jika ingkar.
Sumber: FMT