Mahkamah Bebaskan Ahmad Maslan Lepas Bayar Kompaun RM1.1 juta

ahmad-maslan-1.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Datuk Seri Ahmad Maslan atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas membayar kompaun RM1.1 juta.

Ahli Parlimen Pontian itu didakwa gagal mengisytiharkan wang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam, menurut laporan Bernama.

Pada Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 23 hari bermula 7 hingga 9 Jun dan 13-15 Jun, 18-21 Julai dan 25-28 Julai serta 15-19 Ogos dan 22- 25 Ogos 2022 untuk perbicaraan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Sebelum ini, Ahmad, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu di atas semua pertuduhan tersebut dan memohon untuk dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top