KOTA KINABALU: Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan supaya berfikir secara rasional sebelum menyertai perhimpunan anjuran kumpulan pelajar bagi membantah isu bekalan air dihadapi institusi pengajian tinggi itu pada 14 Jun ini.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Roslan Abdullah berkata setiap pelajar juga diminta untuk berfikir panjang sekali gus melihat kesan bakal berlaku sekiranya mereka menyertai perhimpunan terbabit, lebih-lebih lagi jika tidak mempunyai permit sah.
Justeru, Roslan berkata kumpulan pelajar yang ingin menganjurkan perhimpunan itu sebaiknya mendapatkan permit daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
“Jika ada permit polis, kami di peringkat perwakilan pelajar tidak ada kuasa untuk menghalang mereka (menganjurkan perhimpunan), tetapi jika tidak ada permit, maka lihat masa depan pelajar-pelajar yang mengikuti perhimpunan itu sekiranya ada tindakan tatatertib dikenakan.
“Saya tidak menggalakkan mahasiswa untuk menyertai perhimpunan itu sekiranya tidak ada permit sah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan projek telaga tiub UMS di sini pada Ahad.
Roslan juga berharap mahasiswa UMS menjaga imej dan nama baik universiti kerana menurutnya, tidak semua perkara perlu diselesaikan dengan mengadakan perhimpunan, sebaliknya diatasi secara diplomasi dan intelektual.
Mengulas lanjut, Roslan tidak menafikan isu gangguan bekalan air sudah lama membelenggu UMS, namun universiti itu tidak pernah duduk diam, malah sentiasa proaktif mencari langkah penyelesaian dalam menangani permasalahan berkenaan.
Beliau berkata hal ini termasuk menghantar tangki air dan membina tangki, selain membina telaga tiub menggunakan peruntukan RM3 juta disalurkan Pejabat Perdana Menteri sebagai alternatif memastikan bekalan air sentiasa mencukupi untuk warga UMS.
Difahamkan, penganjuran perhimpunan #KamiMahuAir Sabah akan diadakan di depan Menara Kinabalu pada 14 Jun ini.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menasihati kumpulan pelajar yang berhasrat menganjurkan perhimpunan itu supaya menggunakan saluran betul.
Beliau berkata kumpulan pelajar itu juga boleh mendapatkan maklumat dan fakta sebenar mengenai isu air menerusi kaedah bersemuka termasuk dengan pihak pengurusan UMS dan Jabatan Air Negeri Sabah.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pihak penganjur mahu meneruskan perhimpunan itu, mereka perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). – BERNAMA