KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan kumpulan mahasiswa menganjurkan ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’ pada 31 Disember ini adalah tidak mewakili UMS.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini termasuk mana-mana entiti dalam UMS termasuk fakulti, akademi, pusat, institut serta warga universiti ini.
Katanya, UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan ini agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan.
“Ini termasuk arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan serta keselamatan mahasiswa dan ketenteraman awam terpelihara.
“UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata,sebarang idea atau cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah.
“Ini kerana mahasiswa merupakan golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang.
“Kita menggesa agar pelajar lebih fokus kepada peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi,” jelas Kasim.
Menurutnya, pihaknya menyeru agar para pelajar UMS tidak terlibat dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam khususnya pelajar itu sendiri.
“Warga UMS juga sentiasa dinasihatkan agar menjunjung kesopanan dan kesusilaan terutamanya ketika berinteraksi sosial sesama manusia.
“Ini termasuk dengan cara menghormati orang lain, berkomunikasi secara berhemah, bertanggungjawab, bertoleransi dan bersangka baik,” kata Kasim.
Sumber: SNT