KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan wakil Organisation for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement (OISCA), Fujii Keisuke di Korporasi Pembangunan Desa Sabah, Wisma Pertanian Sabah pada Isnin.
MoU antara OISCA dan MAFFI adalah persefahaman dan persetujuan di antara kedua pihak untuk mengembang dan menyumbang kepada pemhangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat Negeri Sabah.
Menurut MoU itu, OISCA bertanggungjawab membekalkan perkhidmatan teknikal pertanian; memilih dan melaksanakan modul dan latihan pertanian yang bersesuaian untuk pelatih; membekalkan model peralatan dan mesin pertanian yang terkini dan sesuai.
Selain itu ia akan membekalkan biasiswa kepada pelatih yang terpilih untuk melanjutkan latihan di pusat-pusat latihan OISCA yang terpilih di Jepun serta memberi sokongan dan latihan kepada pelatih graduan yang melibatkan diri dalam projek pembangunan mereka.
OISCA juga memberi sokongan terhadap aktiviti pemuliharaan alam sekitar; menerap pengetahuan mengenai pemprosesan dan penyimpanan makanan berdasarkan teknologi moden; dan menyediakan latihan lanjutan pertanian yang kini dilatih di Jepun.
Sementara itu MAFFI bertanggunjawab membiayai pelaksanaan pusat latihan termasuk pembelian peralatan dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk pengurusan program latihan di pusat latihan; membekalkan elaun, makanan dan kebajikan para pelatih di pusat latihan.
MAFFI turut berperanan membekalkan kemudahan kepada sukarelawan Jepun sepanjang perkhidmatan mereka di pusat latihan; memberi bantuan kepada ahli dan keluarga mereka untuk mendapatkan izin untuk masuk dan meninggalkan Sabah; memberi bantuan untuk memudahkan pengecualian dari pembayaran cukai pendapatan; dan membantu memberikan perkhidmatan rawatan perubatan di hospital awam dan di pusat kesehatan awam di Sabah.
Pengurus Besar KPD Jamilah Lee berkata ahli-ahli OISCA akan ditempatkan di Pusat Latihan Belia KPD – OISCA di Lagud Sebrang, Tenom sebagai tenaga pengajar kepada para pelatih dan belia di pusat latihan tersebut.
Tempoh pelanjutan MoU ini adalah selama tiga (3) tahun dan akan diperbaharui tertakluk kepada persetujuan kedua-dua belah pihak.
Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page