KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Daily Express.
Pelantikan bekas Presiden UPKO itu berkuat kuasa pada 16 Jun. Beliau menggantikan Datuk Abdul Razak Abdul Majid, yang juga pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB memiliki 80% daripada SESB, tetapi Sabah akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri daripada kerajaan persekutuan tidak lama lagi.
Pada 12 Jun, Bernama melaporkan DUN Sabah akan mengadakan sidang khas Januari tahun depan bagi memudahkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia ke atas bekalan elektriknya.
Tangau adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2015 dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian negeri pada 2018.
Beliau berkhidmat sebagai pengerusi beberapa agensi persekutuan dan syarikat berkaitan negeri seperti Lembaga Kebudayaan Sabah (LKNS), Forest Plantation Development Sdn Bhd, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dan Asian Supply Sdn Bhd.
Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd.