Madius Senarai Tujuh Idea Kabinet Bayangan PH Plus

Wilfred-Madius-Tangau-election-upko-sabah-1.jpg

KOTA KINABALU: Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyenaraikan tujuh idea pembentukan Kabinet bayangan untuk Pakatan Harapan (PH) Plus.

Usul itu dikemukakannya kerana percaya Kabinet bayangan perlu dibentuk khususnya oleh ketua pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya usaha menawan semula Putrajaya dapat diberikan tumpuan.

Antaranya, Kabinet bayangan yang hendak diwujudkan haruslah beragam – inklusif dari segi etnik-agama, wilayah, jantina, kumpulan umur dan parti untuk rakyat perakui.

“Mengadakan mesyuarat mingguan (termasuk panggilan video) sebagai Kabinet sebenar untuk membolehkan penglibatan semua parti dalam isu-isu nasional dapat diselaraskan.

“Perjumpaan berkala dengan menteri besar dan ketua menteri di Selangor, Pulau Pinang dan Negri Sembilan, selain calon-calon menteri besar atau ketua menteri di negeri lain.

Ahli Parlimen Tuaran terbabit berkata demikian menerusi kenyataannya di sini, semalam, berkaitan usulnya supaya PH Plus membentuk Kabinet bayangan itu menjelang 2021.

Mengulas lanjut, Madius berkata langkah memperkemaskan penyokong PH juga harus dijalankan sebagai persediaan awal untuk pengembangan tumpuan portfolio Kabinet.

“Kita juga perlu menyediakan anggaran belanjawan enam bulan awal sebelum hari belanjawan seterusnya tiba, yang turut melibatkan pemegang taruh dan rakyat biasa.

“Rangkaian teknokrat dan pakar juga diharap dilibatkan sama untuk membantu merumus dan memperkemaskan dasar-dasar (kerajaan yang hendak diwujudkan),” katanya.

Menurutnya, Kabinet bayangan berkenaan juga perlu membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa politik boleh menjadi profesional, berdaya saing dan terhormat.

Menyentuh hal berkaitan, Madius percaya PH Plus perlu menumpukan perhatian terhadap usaha membentuk Kerajaan Persekutuan semula dan berani mengakui kesilapan mereka.

“Kita perlu menawarkan polisi yang konkrit kepada rakyat berkaitan pandemik, ekonomi, pembangunan lestari, kemajuan teknologi, perdamaian nasional dan reformasi institusi,” katanya.

Malah, beliau percaya PH Plus mesti memperbaharui tumpuan utamanya daripada berkisar ‘orientasi angka’ kepada ‘orientasi dasar’ serta mengukuhkan kesatuan mereka.

Pada masa sama, beliau menyokong teguran Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik Lim Guan Eng supaya PH berhenti membuang masa dengan oportunis.

“Saya berharap PH Plus akan terus berusaha menjadi pembangkang yang paling cekap sehingga ketibaan Pilihan Raya Umum ke-15 dan boleh dipercayai rakyat Malaysia.

“Pemimpin-pemimpin tertinggi PH Plus diharap dapat berbincang bersama membentuk kabinet bayangan yang menggembirakan rakyat Malaysia pada tahun baharu,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top