KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau berharap masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat memahami dan lebih sensitif terhadap budaya masyarakat Borneo termasuk konsumsi arak atau alkohol.
Beliau berkata sensitiviti itu penting memandangkan masyarakat bukan Islam di Borneo (Sabah dan Sarawak) mempunyai pendapat berbeza penggunaan arak.
“Kita boleh mencapai objektif apa yang kita bincangkan tanpa menyinggung perasaan (atau budaya) orang lain.
“Sebagai orang Borneo tindakan pihak berkenaan menyamakan arak sebagai ‘kencing’ amat menyinggung perasaan kerana selama ini arak adalah sebahagian daripada budaya masyarakat bukan Islam di Sabah dan Sarawak, khususnya Kadazandusun.
“Adakah ini perlu diubah kerana ia bertentangan dengan penganut agama Islam di negara ini,” katanya dalam webinar ‘Arak dan Sensitiviti Borneo’ pada malam Sabtu.
Arak wiski berjenama ‘timah’ keluaran Malaysia yang memenangi beberapa anugerah peringkat antarabangsa menjadi kontroversi baru-baru ini.
Pelbagai pihak menyatakan kerajaan perlu menyekat penggunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah berikutan ia tidak sesuai digunakan dan boleh mengelirukan umat Islam.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, kontroversi bantahan jenama Timah pada mulanya tidak menimbulkan masalah tetapi ia kemudiannya menjadi ‘panas’ apabila dikatakan sebagai ‘kencing’.
“Kita di Borneo merasa sensitif tentang perkara ini kerana minuman arak ini adalah antara warisan budaya Borneo.
“Contohnya, selepas penduduk kampung bergotong-royong atau ‘mitabang’ masyarakat Kadazandusun minum arak, bukan niat untuk bermabuk-mabukan tetapi sebagai ruang kita berinteraksi dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
“Begitu juga apabila berlaku perbelahan antara individu dan mereka ‘mibabas’ (berdamai) dengan menggunakan tapai (minum arak).
“Selama ini kita tiada masalah dalam hal ini tetapi apabila ia disamakan dengan perkataan yang tidak baik, kita merasa sensitif, kerana ini warisan budaya kita dan kita tidak memaksa masyarakat lain untuk meminumnya,” kata Madius.
Beliau berkata, selama ini minuman itu digunakan sebagai medium persaudaraan dan mengeratkan silaturahim antara saudara mara dan rakan-rakan sekampung.
“Di Sabah, masyarakat bukan Islam yang beragama Kristian (SDA) juga tidak membenarkan penganutnya minum arak, tetapi selama ini, kita tidak ada masalah dengan mereka.” – Nabalu News