Madius Cadang Tambah 15 Senator Dari Sabah, Sarawak

madius.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya seramai 15 lagi Senator dilantik bagi mewakili Sabah dan Sarawak dalam Dewan Negara.

Beliau berkata, jumlah perwakilan rakyat Sabah dan Sarawak di Dewan Negara perlu ditingkatkan bagi mengembalikan status rakan setara antara dua negeri ini dengan Semenanjung.

“Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi rakan setara dengan Tanah Melayu (Semenanjung), malangnya sejak awal lagi, jumlah kerusi tidak dibahagikan secara sama rata berbanding Tanah Melayu yang mempunyai dua per tiga daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen.

“Oleh itu, untuk mendapatkan kembali status rakan setara kita, apa yang boleh dilakukan sekarang adalah meningkatkan jumlah pewakilan rakyat Sabah dan Sarawak di Senat daripada sembilan hingga 24 anggota, iaitu sebanyak 15 Senator tambahan dari Sabah dan Sarawak,” katanya sebagai panel webinar Reformasi Parlimen dari perspektif Sabah yang diadakan secara maya pada malam Selasa.

Madius yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Wisdom turut menyeru kerajaan Persekutuan untuk bertindak mereformasi Parlimen Malaysia dengan mempertimbangkan perspektif Sabah berdasarkan semangat pembentukan Malaysia seperti yang dimaktubkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah dan Sarawak merupakan tanah besar Malaysia, merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan tanah negara selain sangat kaya dengan sumber semula jadi, namun rakyat di negeri-negeri ini, terutamanya Sabah, merupakan rakyat yang termiskin di Malaysia.

“Walaupun kita akan menyambut Hari Malaysia ke-58 pada 16 September ini, Sabah tetap menjadi negeri pada kadar kemiskinan mutlak tertinggi iaitu 25.3 peratus, hampir dua kali ganda peratusan negeri Sarawak iaitu 12.9 peratus pada tahun 2020 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjelaskan, ada keperluan penting untuk suara dan pengundian yang lebih besar daripada wakil rakyat dan Senator dari Sabah dan Sarawak di Parlimen. –SH

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top