Madius Berundur, Ewon Presiden Baharu UPKO

ewon-madius.jpg

Ewon (tengah) bersama Madius (dua kanan) pada sidang media pengumuman presiden baharu parti itu di Penampang. FOTO ihsan UPKO

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Presiden United Progressive Kinabalu Organization (UPKO) Datuk Seri Dr Wilfred Madius Tangau semalam menyerahkan baton kepada pemimpin muda, ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick, untuk menerajui parti itu.

Pada sidang media yang diadakan semalam Madius, sambil menzahirkan sokongan kepada Ewon untuk mengambil alik kepemimpinan parti, turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO yang dijadual berlangsung pada 15 dan 16 Oktober depan.

Ewon, 39, sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan tertinggi UPKO itu pada pemilihan yang diadakan sempena persidangan berkenaan.
“Saya ingin mengumumkan bahawa presiden baharu UPKO akan disandang oleh naib presiden (sekarang), yang juga ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
“UPKO sentiasa mengamalkan kepimpinan kolektif dan melalui peralihan ini, kita berharap ia akan meremajakan parti,” kata Madius pada sidang media itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, keputusan itu sejajar dengan situasi semasa khususnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.

“Kita sedia maklum bahawa keadaan politik negara kini adalah tidak stabil dan PRU-15 semakin hampir.

“Atas dasar itu, saya melihat UPKO perlu menyusun strategi baharu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat dalam keadaan politik yang tidak menentu ini.

“Untuk itu, UPKO akan mengetengahkan barisan kepemimpinan baharu dengan perspektif segar dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu sudah dipersetujui dan dilaksanakan setelah menilai tahap kesediaan pemimpin baharu yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab menerajui UPKO.

Madius yang menerajui UPKO sejak 2014 berkata, beliau yakin kepemimpinan baharu yang bakal diterajui Ewon akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik serta kepentingan rakyat.

Katanya, selepas ini beliau akan memegang jawatan Presiden Kehormat UPKO yang baharu menggantikan Tan Sri Bernard Dompok selepas diberi kepercayaan oleh kepemimpinan UPKO.

Menurutnya, selain jawatan presiden, turut tiada pertandingan ialah jawatan timbalan presiden yang kini disandang Datuk Donald Peter Mojuntin.

UPKO adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang ketika ini menjadi komponen PH bersama DAP, Amanah dan PKR.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top