KOTA KINABALU: Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengajak anggota parlimen BN yang menarik balik sokongan terhadap perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai Pakatan Harapan (PH) Plus dengan syarat mereka tidak mempunyai kes di mahkamah.
Sebelum ini, Upko merupakan parti komponen BN, namun meninggalkan gabungan itu selepas PRU 14 dan bersama Warisan serta PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah membentuk kerajaan negeri.
Pada pilihan raya negeri (PRN) September lalu gabungan Upko, Warisan dan PH itu, yang dikenali PH Plus tumbang dengan UPKO sendiri hanya memenangi satu kerusi DUN.
“Kepada rakan ahli parlimen, Ahmad Jazlan, Nazri Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah dan kawan lama dalam Barisan Nasional (BN) yang tinggalkan Muhyiddin bukan kerana kes mahkamah, saya ingin mengajak kalian sertai kami dalam PH Plus bagi berbincang dasar alternatif pasca Muhyiddin dan pasca PN,” kata anggota parlimen Tuaran itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Madius berkata, anggota parlimen mempunyai tugas untuk menawarkan polisi demi kepentingan jutaan rakyat Malaysia yang kini menderita akibat langkah Muhyiddin ‘menyelamatkan jawatannya’ dengan mengisytiharkan darurat.
Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz menjadi wakil rakyat ketiga daripada Umno yang mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyokong Muhyiddin.
Ini menyebabkan PN kini menjadi kerajaan minoriti dengan hanya memiliki sokongan 109 ahli parlimen.