Madani Perlu Pengisian Ikut Konsep Tempatan – Hajiji

CM-Madani.jpg

Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani sebagai satu acuan besar nasional, perlu diterjemah dalam secara lebih spesifik dengan pengisian terbaik mengikut konteks tempatan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, gagasan Membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri Sabah, termasuk dalam lanskap serta ekosistem tempatan negeri ini.

“Kita mengakui bahawa konsep Malaysia Madani sememangnya sudah pun berciri menyeluruh dan inklusif. Namun begitu, kita perlu juga sedar bahawa Malaysia Madani adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.

“Justeru, adalah penting proses “localisation”, atau menterjemah gagasan besar kebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik. Sebagai satu acuan besar nasional, Malaysia Madani perlukan pengisian-pengisian terbaik yang lebih khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya ketika merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Selasa.

Ketua Menteri berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang masih belum mendapat tempat yang cukup kukuh dalam citra kebangsaan.

“Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani. Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi dengan ciri lokal.

“Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada landskap dan ekosistem negeri Sabah. Saya percaya, dalam mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Madani, proses itu haruslah dipacu oleh prinsip keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan bersuara,” katanya.

Sebagai sebuah negeri di Malaysia yang mempunyai latar etnik, geografi dan sejarah yang pelbagai, katanya Sabah boleh mengambil posisi di hadapan bagi menterjemah ciri-ciri Madani ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kedua-dua gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berkongsi aspirasi serta impian yang sama iaitu ingin melihat sebuah negara atau negeri yang berjaya dan maju dengan acuan kemanusiaan yang murni.

“Justeru, konsep Membangun Malaysia Madani ini bertepatan dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri selepas menerajui kerajaan pada September 2020.

“Sebagai contoh, antara inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah untuk mengukuhkan sosioekonomi rakyat dan membuat agihan kemakmuran yang lebih inklusif. Bagi konsep Malaysia Madani pula, antara matlamatnya adalah untuk mengurangkan kemiskinan dan mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Dengan menggabungkan kedua-dua inisiatif ini, kerajaan mempunyai pendekatan yang lebih komprehensif dalam meningkatkan kemajuan serta pembangunan negeri, yang sejajar dengan kerangka kebangsaan dan hasrat tempatan,” katanya.

Beliau yakin melalui hubungan erat dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, kedua-dua inisiatif ini boleh memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial yang inklusif kepada rakyat di negara ini.

Sementara itu, Hajiji berkata seminar Membangun Malaysia Madani adalah satu pendekatan yang amat relevan untuk menjelaskan secara terperinci konsep ini kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

Pembabitan semua pihak juga terutama rakyat katanya, adalah penting bagi mengelakkan konsep Malaysia Madani menjadi sia-sia dan hanya tinggal slogan kosong semata-mata.

“Oleh itu, saya menganggap program pada hari ini adalah satu daripada pendekatan yang sangat relevan dan tepat pada masanya bagi menjelaskan konsep ini secara meluas serta terperinci kepada peringkat akar umbi.

“Ini adalah usaha murni untuk kita di peringkat kerajaan negeri, penjawat awam negeri dan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan masyarakat awam menghayati konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top