Macai?: Dua Kali Lima…

shafie-apdal-musa-aman.jpg
Kongsi Bersama

Saya membaca berita bertajuk ‘Saya Berusaha Majukan Ekonomi Tetapi Macai Musa Kecewa Hilang Projek’ di Borneo Today semalam dengan penuh minat.

Tertarik dengan tajuknya. Tajuk yang sudah cukup untuk menggambarkan emosi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kata-katanya dipetik dan dijadikan tajuk.

Dalam berita itu, Shafie antara lain dilaporkan berkata, kerajaan Sabah pimpinannya sedang bekerja keras untuk membangunkan pelbagai sektor industri.

Katanya lagi, meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19, namun beliau tidak pernah mengalah malah banyak perancangan di peringkat Kerajaan Sabah telah dibuat untuk merancakkan semula ekonomi negeri.

Shafie berkata, pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap Warisan sebenarnya berpunca daripada kekecewaan ‘macai’ Tan Sri Musa Aman yang kini tidak lagi berupaya mendapatkan projek kerajaan.

Menurutnya, beliau telah mengambil keputusan menghentikan pemberian projek kepada macai-macai berkenaan kerana mereka hanya mengejar kekayaan peribadi bukannya kepentingan rakyat.

“Yang merudum ekonomi ini bukan pasal apa, ada kegiatan ekonomi cuma masalah dia macai-macai dia tiada bisnes sudah, itu yang merudum tiada kerja dulu banyak kerja musim dia Ketua Menteri.

“Sekarang saya hentikan semua saya tidak bagi mereka kerja kerana kerja itu bukan untuk rakyat negeri Sabah, untuk macai-macai dia sahaja, bukan kerja kita,’ katanya.

Kalau dicari dalam Kamus Dewan atau di laman web web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) kita tidak akan menjumpai maksud perkataan ‘macai’. Bermakna ia tidak terdapat dalam pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka dan belum diterima sebagai perkataan rasmi bahasa Melayu.

Tetapi secara umumnya kita tahu makna macai. Budak baru belajar bercakap pun mungkin tahu.

Walaupun macai membawa konotasi negatif, tetapi dalam politik peranan macai tidak boleh diambil mudah. Buktinya, Shafie sendiri terpaksa memberi respons terhadap apa yang didakwanya sebagai tohmahan golongan tersebut.

Sepanjang pengalaman saya menjadi pemerhati politik kecil-kecilan, saya dapati hampir semua parti mempunyai macainya. Warisan pun tidak terkecuali. Yang riuh rendah menghentam kerajaan BN sebelum PRU dahulu kebanyakannya macai Warisan dan parti-parti yang sehaluan dengannya. Yang mengadu domba UMNO dan parti-parti pro PN sekarang pun tentunya termasuk macai Warisan dan kaum kerabatnya juga.

Jadi, kau ada, aku ada. 2 X 5.

Tidaklah pelik kalau macai Musa bercakap yang buruk-buruk tentang Shafie. Yang pelik jika mereka memuji Shafie. Demikian juga sebaliknya.

Tidaklah menjadi kesalahan jika Musa memberi habuan kepada macai-macainya, asalkan pemberian itu dibuat mengikut saloran dan memenuhi segala tuntutan peraturan. Dan tidaklah menjadi kesalahan jika Shafie menghentikan pemberian habuan itu kerana dia mungkin dianggap kurang siuman jika meneruskannya.

Demikian juga jika Shafie memberi sedikit sebanyak habuan kepada macai-macainya sekarang. Asalkan tak melanggar peraturan, tak menjadi masalah.

Tetapi yang menjadi masalah ialah rakyat biasa yang bukan macai Musa pun secara umumnya pakat merungut dengan keadaan ekonomi negeri sepanjang tempoh Warisan PH Plus memerintah. Mereka pun tak faham, salah apa yang mereka buat sehingga hidup terasa agak sukar berbanding sebelum 26 bulan dahulu?

Mungkinkah salah tempat menaruh harapan?

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top