MA63: PKR Sabah yakin semua tuntutan dilunaskan di bawah Anwar

mustapha.jpg

Mustapha (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: PKR Sabah menaruh keyakinan penuh terhadap komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan tuntutan Sabah dan Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Pengerusi Majlis Perwakilan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, menyatakan bahawa keyakinan ini selaras dengan Fasal 5, Perkara 5.8, Perlembagaan PKR, yang dengan jelas menyebut komitmen parti terhadap MA63.

Beliau menambah, sebagai Presiden PKR, Anwar pasti akan menjadikan komitmen terhadap perjuangan MA63 yang dinyatakan dalam perlembagaan parti sebagai panduan dalam setiap keputusan yang dibuat sebagai ketua kerajaan.

“Perlembagaan PKR menegaskan bahawa parti ini ‘menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka MA63.’

“Ini menjadikan PKR sebagai satu-satunya parti nasional yang jelas mengangkat kepentingan MA63 dalam kerangka negara bangsa,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia yang disambut hari ini.

Mustapha menegaskan bahawa Anwar telah membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya dalam melaksanakan MA63, dengan tujuh daripada 11 perkara dalam tuntutan Sabah dan Sarawak telah diselesaikan dalam tempoh dua tahun sebagai Perdana Menteri.

“Pencapaian ini termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan garis panduan penyerahan tanah di Sabah dan Sarawak. Di bawah Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga tuntutan utama juga telah diselesaikan, seperti penyerahan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah.

“Penyerahan kuasa kawal selia gas petroleum cecair (LPG) kepada Sarawak pula dilakukan di bawah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Baki tuntutan yang masih tertangguh akan diteruskan dan diselesaikan dengan penuh dedikasi oleh Kerajaan Perpaduan-Madani, di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63),” katanya.

Mustapha, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, menyatakan keyakinan bahawa Perdana Menteri sekarang akan sentiasa memastikan setiap langkah diambil dengan persetujuan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kepemimpinan yang inklusif dan penuh ihsan dapat membawa kemajuan positif kepada semua rakan kongsi yang membentuk negara Malaysia. Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berpadu untuk merealisasikan gagasan Malaysia Madani dengan semangat perpaduan dan keharmonian. Semoga Malaysia terus maju dan berkembang sebagai negara yang disegani dan dirahmati,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top