PUTRAJAYA: Perjanjian 1963 (MA63) perlu diatur secepat mungkin dan jangan membiarkan ia terlampau lama.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan gesaan itu ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan, pada Jumaat.
Gesaan itu selaras majlis memetrai memorandum persefahaman (MoU) antara gabungan politik bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Shafie berkata, beliau mahu faktor kewangan tidak dijadikan alasan untuk memuktamadkan MA63.
Menurutnya, beliau sebaik mungkin mahu MA63 dilaksanakan secepat mungkin.
“Kami tahu dalam keadaan negara pada hari ini ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak harus dijadikan alasan.
“Kita tidak boleh pula menggunakan alasan sehingga tertangguh tahun ke tahun dan kalau itu menjadi alasan kemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kita boleh berbelanja berbilion untuk perkara lain kenapa tidak boleh belanja pula untuk prasarana, sekolah air dan elektrik,” katanya.
Katanya, jika MA63 dapat direalisasikan kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak maka, inilah negara yang diidam-idamkan.
Mohd Shafie berkata, pada pentadbiran terdahulu, ada perkara berkenaan MA63 sudah diselesaikan namun, ada beberapa perkara yang masih tertangguh.
“Saya berharap ia dapat diperhalusi segera kerana ia turut membabitkan kelulusan kerajaan pusat,” katanya. – Borneo Today