Luahan kepada Agong tunjukkan rakyat Sabah sangat perlukan pembelaan, kata Bung

bung-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap isu disuarakan rakyat Sabah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Kembara Kenali Borneo, baru-baru ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pelbagai isu yang disuarakan kepada baginda berdua menunjukkan rakyat negeri ini sangat memerlukan pembelaan terutama penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

Menurut beliau, rakyat Sabah sudah tentu mengharapkan pucuk pimpinan kerajaan negeri memiliki iltizam yang tinggi bagi memastikan peranan mereka membawa perubahan yang ketara dalam aspek pembangunan terutama isu berkaitan jalan raya, air dan elektrik dapat diselesaikan.

“Ia mesti selari dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaungkan kerajaan negeri hari ini agar segala isu itu tidak berpanjangan dan berterusan menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap usaha melaksanakan pembangunan negeri dan menyelesaikan setiap isu yang disuarakan rakyat tanpa mengira perbezaan politik dan kepentingan mana-mana parti.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga berkata sebagai sebuah wilayah yang sama-sama membentuk Malaysia sejak 60 tahun lalu, Sabah berhak untuk menerima pembangunan yang setimpal atau lebih baik berbanding negeri lain.

Katanya, adalah diharapkan sambutan Hari Malaysia ke- 60 tahun semalam mengukuhkan lagi kesungguhan kerajaan Pusat dan negeri untuk membangunkan Sabah agar jurang pembangunannya tidak jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top