PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon di sini boleh kembali beroperasi pada kapasiti penuh malam tadi dan merawat 40 juta liter air sehari (MLD) susulan siapnya pembaikan pam utamanya yang rosak, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata LRA Kogopon mengalami kerosakan pam sejak sebulan lalu menyebabkan ia hanya mampu merawat 35 MLD tetapi kini kapasiti tambahan 5 MLD air terawat boleh disalurkan kepada awam.
Katanya pihaknya masih menanti agar kadar kemasinan air mentah di Kampung Limbahau turun ke paras 125 miligram/liter (mg/l) bagi membolehkan dua LRA di daerah Papar masing-masing berkapasiti 10 MLD beroperasi seperti sedia kala.
“LRA Jetama sekarang hanya merawat 5 MLD melalui bekalan air mentah di muka sauk Kampung Kabang dan LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau telah lebih sebulan ditutup.
“Kita doakan hujan renyai seketika hari ini akan disusuli dengan hujan yang lebih kuat dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini semalam.
Khamis lepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata daerah Papar berdepan dengan kekurangan 15 MLD bekalan air terawat berikutan keupayaan dua LRA di daerah itu terejas.
Katanya perkara itu terjadi disebabkan tahap kemasinan air mentah amat tinggi iaitu lebih 5,000 mg/l akibat kesan kemarau dan El-Nino. – BERNAMA