KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah menyasarkan untuk membina 10,000 unit rumah kos rendah bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
Sehingga kini, LPPB menerima lebih 30,000 permohonan untuk mendapatkan rumah kos rendah dan jumlah itu agak tinggi.
Pengerusi LPPB Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, pihaknya menyasarkan untuk memenuhi sekurang-kurangnya 40 hingga 50 peratus daripada jumlah permohonan yang diterima.
Sekiranya boleh menyediakan 10,000 unit rumah maka, sebahagian daripada permohonan itu berjaya dipenuhi.
“Walau bagaimanapun, 10,000 unit rumah itu bukanlah disiapkan dalam jangka masa setahun atau dua tahun. Mungkin, ia akan mengambil masa lima atau 10 tahun bergantung kepada peruntukan yang diterima.
“Pada dasarnya, kita sudah memberitahu kepada pemimpin kerajaan negeri bahawa kita mempunyai misi untuk membina 10,000 unit rumah kos rendah,” katanya selepas sambutan Majlis Aidilfitri bersama media kelmarin.
Mengulas lanjut katanya, dua projek sedang berjalan pada masa ini iaitu di Merotai, Tawau dan Sook, Keningau bagi membina 100 unit rumah kos rendah manakala, dua projek yang dalam perancangan masing-masing di Kemabong, Tenom dan Sukau, Kinabatangan.
Kos pembinaan bagi 50 unit rumah kos rendah di setiap satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah RM7.5 juta yang disediakan oleh kerajaan negeri.
“Pemohon rumah kos rendah ini juga akan ditapis bagi memastikan mereka yang layak sahaja menerimanya. Sasaran kita adalah mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.
“Apabila melihat senarai pemohon yang begitu banyak, saya agak bersimpati kerana keperluan untuk memiliki rumah kos rendah begitu tinggi. Namun, LPPB tidak mampu menyediakan mengikut jumlah permohonan yang diterima.
“Rumah yang dibina oleh LPPB ini akan dijual dengan harga RM47,000 setiap unit,” katanya.
Maka, menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ), beliau berharap pimpinan kerajaan negeri akan mengangkat isu perumahan ini sebagai salah satu objektif utama agar usaha menyediakan rumah kepada rakyat Sabah dapat dilakukan.