KOTA KINABALU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang melaksanakan dua projek estet padi mini masing-masing di Beluran dan Pitas dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi dan pendapatan pesawah di Sabah.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP Amir Matamin berkata dua estet mini seluas 150 hektar itu dilaksanakan menerusi peruntukan 2021 dan 2022 itu, bertujuan membantu pesawah terlibat melaksanakan penanaman padi secara tersusun.
“Kedua-duanya masih dilaksanakan dan kita memantaunya. Mudah-mudahan dengan peruntukan ini akan berlaku peningkatan hasil padi dan pendapatan petani,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Amir berkata LPP juga terlibat dalam penyediaan kemudahan jentera dan mekanisasi bagi membantu pesawah dari segi penggunaan jentera untuk penghasilan lebih besar.
Katanya bagi tahun ini, LPP Sabah menerima 23 jentuai dan traktor baharu untuk meningkatkan lagi penanaman padi di Sabah.
“Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita memang fokus untuk mekanisasi dan automasi untuk membantu peladang dari segi kemudahan jentera.
“Bagaimanapun di Sabah, kita masih berdepan dengan masalah saliran. Tetapi secara umumnya, melalui dua program ini, kita akan cuba meningkatkan hasil padi di negeri ini,” katanya.
Amir berkata pengagihan peruntukan kepada setiap negeri bergantung kepada permohonan projek yang dikemukakan kepada LPP, dan Sabah menerima peruntukan antara enam hingga tujuh peratus daripada keseluruhan peruntukan yang diagihkan kerajaan kepada LPP di seluruh negara setiap tahun. – BERNAMA