LPP bantu pemilikan jentera kecil dan sederhana melalui geran padanan

arthur.jpg

Arthur bersama sebahagian penerima geran sempena Majlis Pemimpin Bersama Peladang di Kampung Panagatan Ulu, Keningau.

Kongsi Bersama

KENINGAU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) komited untuk membantu para peladang melalui geran padanan pemilikan jentera kecil dan sederhana sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pada tahun 2023, LPP telah membantu para peladang melalui 17 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Sabah untuk memiliki jentera kecil dan sederhana dengan jumlah peruntukan sebanyak RM500,000.

“Bagi Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12, LPP telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membiayai permohonan daripada 20 PPK di wilayah Sabah,” katanya.

Menurut beliau lagi, penggunaan teknologi mekanisasi dan jentera dalam sektor pertanian mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh sekali gus memastikan pengeluaran makanan negara tidak terjejas.

Melalui program Pemilikan Jentera Kecil Dan Sederhana Secara Geran Padanan, LPP menawarkan pembiayaan pembelian jentera dengan nisbah 70:30 iaitu 70 peratus daripada nilai jentera atau peralatan akan dibiaya oleh LPP manakala baki 30 peratus lagi adalah di bawah tanggungan pemohon dengan had pembelian jentera atau peralatan sehingga RM20,000.

Dalam pada itu, Arthur turut menyeru ahli-ahli peladang yang terlibat dalam bidang pertanian untuk mengambil peluang dan memohon di pejabat Pertubuhan Peladang mengikut bidang usaha masing-masing.

Secara umum antara jentera yang boleh dipohon adalah seperti mini jentuai, traktor 2 roda, jentanam dan peralatan pertanian kecil yang bersesuaian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Peladang di Kampung Panagatan Ulu yang dihadiri kira-kira 120 pesawah, petani dan peladang di sekitar Keningau.

Pada majlis tersebut, Arthur turut menyampaikan kelulusan pembelian jentera kecil dan sederhana melalui program geran padanan kepada PPK Keningau dengan nilai jentera dan peralatan berjumlah RM39,000.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin; Pengarah LPP Sabah, Hadriyani Ahmad dan Pengerusi AJP Pertubuhan Peladang Keningau, Alexius@Sius Paulus.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top