LPP bantu 33 ahli PPK Nabawan miliki jentera pertanian

IMG_20240707_153044-scaled.jpg

NABAWAN:  33 ahli Unit Peladang Malima, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan berjaya memiliki jentera berjumlah RM90,740 hasil bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Program Pemilikan Jentera Kecil dan Serdahana Secara Geran Padanan.

Majlis penyerahan jentera tersebut  telah disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,  Datuk Arthur Joseph Kurup di Pejabat Stor Baja Unit Malima PPK Nabawan.

Arthur berkata melalui inisiatif itu LPP menawarkan sumbangan pembelian jentera dengan nisbah 70:30 iaitu 70% daripada nilai jentera atau peralatan akan disumbangkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sementara 30% lagi adalah sumbangan pemohon dengan pembelian jentera atau peralatan sehingga Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu.

“Sehubungan itu, atas keprihatinan kerajaan para penerima mesin hanya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM27,199 manakala RM 63,541 nilai jentera akan dibiayai oleh LPP di bawah program pemilikan jentera kecil dan sederhana ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur  menyeru ahli-ahli PPK yang terlibat bidang pertanian untuk mengambil peluang tersebut dan memohon di pejabat pertubuhan peladang mengikut bidang usaha masing-masing.

Secara umumnya antara jentera yang boleh dipohon adalah seperti mini jentuai, traktor dua roda, jentanam dan peralatan pertanian yang bersesuaian.

Kerajaan menetapkan syarat yang mudah bagi memastikan golongan petani dapat memiliki jentera. Antara syaratnya pemohon mestilah merupakan ahli PPK, berumur 18 tahun ke atas serta terlibat atau menjalankan aktiviti pertanian yang melibatkan pengeluaran agromakanan.

Di majlis yang sama, Arthur turut menyerahkan geran agriprentice kepada seramai 5 orang penerima dengan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi pelaksanaan projek pertanian hidroponik yang akan dibimbing oleh usahawan tani tempatan Amran Jining.

Beliau berharap dengan kemudahan pemilikan jentera serta kaedah pertanian moden seperti pertanian hidroponik akan dapat menarik minat lebih ramai golongan muda untuk turut serta merancakkan sektor agromakanan.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPP,  Amir Matamin; Pengarah LPP Sabah, Puan Hadriyani Ahmad dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Nabawan,  Ardin Lakunsim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top