KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah berharap Persatuan Bas Sekolah Sabah dan ibu bapa pelajar dapat mencari penyelesaian secara menang-menang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pengusaha bas sekolah.
Pengerusi LPKP Sabah Datuk Chin Kim Hiung berkata beliau telah bertemu dengan pengerusi persatuan itu, Lee Man Kiong pada Isnin untuk mendengar kesulitan yang dihadapi ahli-ahlinya.
“Saya mengambil maklum kesukaran yang dihadapi pengusaha bas sekolah di Sabah yang mana mereka mengalami kehilangan pendapatan akibat penutupan sekolah serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akibat pandemik Covid-19.
“Bagi menyelesaikan masalah itu, persatuan telah mencadangkan agar bayaran bulanan bas sekolah terus dibayar oleh ibu bapa tetapi saya difahamkan cadangan ini ditolak oleh ibu bapa yang mahu membayar yuran hanya apabila sekolah dibuka semula atau apabila perkhidmatan itu diberikan,” katanya.
“Dalam perkara ini, saya mencadangkan agar pengusaha bas dan ibu bapa mengadakan mesyuarat dan mencari penyelesaian secara menang-menang bagi menyelesaikan perkara itu. Saya juga ambil maklum bahawa ramai ibu bapa kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Tambah Chin, kaedah pembayaran yuran bas sekolah ditentukan oleh pengusaha dan ibu bapa/pelanggan.
LPKP Sabah hanya bertindak sebagai pengeluar lesen dan badan yang menentukan kadar bayaran bas sekolah.
Chin turut mengulas cadangan menambah kapasiti penumpang bas sekolah.
“Saya percaya kerajaan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu dalam masa terdekat berdasarkan kenyataan media oleh Perdana Menteri mengenai peralihan kepada fasa endemik pada 1 April 2022.
“Saya berharap kelonggaran SOP yang akan diumumkan bagi peralihan kepada fasa endemik ini juga merangkumi kebajikan pengusaha bas sekolah kerana saya berpendapat kumpulan ini juga merupakan sebahagian daripada kumpulan perkhidmatan penting yang telah memainkan peranan penting semasa tempoh pandemik Covid-19,” katanya.