Lori Tersangkut, Cubaan Seludup Keluar 60,000 Liter Minyak Petrol Di Lahad Datu Gagal

lori-sangkut.jpg
Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) mengagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol dari Lahad Datu ke Filipina dengan penahanan 6 individu termasuk seorang warga asing bersama 3 buah lori yang sarat dengan muatan minyak petrol di Kampung Bakarat, di sini, Isnin lalu

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata pasukan ronda Pos Tungku yang berkekuatan lapan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui tiga buah lori tangki minyak yang tersangkut di laluan berlumpur di ladang kelapa sawit berhampiran pantai Kampung Bakarat, jam 11.30 pagi pada 11 April lalu.

Pasukan keselamatan mengesyaki sesuatu yang mencurigakan kerana lori berkenaan menggunakan laluan tersebut untuk membawa barang kawalan selain kemunculan sebuah tongkang yang bersauh tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Pasukan keselamatan telah melakukan pemeriksaan awal dan mendapati kumpulan penyeludup terbabit terdiri daripada lima rakyat tempatan dan seorang warganegara Filipina berusia antara 23 tahun hingga 54 tahun.

“Pasukan ronda Pos Tungku bertindak menahan kesemua suspek beserta kenderaan dan muatannya dan dibawa ke Balai Polis Tungku,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.

Pemeriksaan awal mendapati setiap lori berkenaan membawa 20,000 liter minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM150,500.00.

Turut dirampas, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Abdul Karim berkata kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP.

Hasil pemeriksaan turut mendapati tiada jadual ulang bekal minyak di Pos Merabung sebagaimana dinyatakan suspek.

Tongkang berkenaan pula telah bergerak dari lokasi bersauh dan hilang dari pemantauan pihak berkuasa.

Nilai rampasan 60,000 liter minyak petrol yang cuba diseludup dianggarkan RM624,000.

Nilai rampasan keseluruhan termasuk tiga buah lori tangki dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dianggarkan RM1.152 juta.

Kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke Balai Polis Tungku untuk tindakan lanjut.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top