KENINGAU: Pejabat Daerah Keningau hari ini mengeluarkan notis amaran kepada penduduk kampung yg tinggal di sepanjang Sungai Bariawa dan Sungai Pagalan untuk tidak menggunakan air dari sungai tersebut sementara waktu sehingga disahkan selamat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pegawai Daerah, Walter Kenson berkata, kampung-kampung yang terlibat adalah Bariawa Ulu, Bariawa Tengah, Bariawa Laut, Lingkudou, Durok, Masak, Ansip dan kampung-kampung yang terletak di sepanjang sungai tersebut.
Katanya, ini berikutan satu kemalangan lori tangki yg membawa muatan bahan kimia untuk kegunaan kilang plywood tergelincir dan terbalik di Kg. Bariawa Jalan Keningau-Kimanis.
“Bahan kimia tersebut mengalir ke parit dan seterusnya mengalir ke Sungai Bariawa dan Sungai Pagalan. Tumpahan kimia tersebut mengangandungi bahan Phenol Formaldehyde Resin yang dikategorikan sebagai toksik dan berbahaya kepada pengguna air sepanjang sungai yang tercemar.
“Jika sekiranya terdapat penduduk yang mengalami masalah kesihatan akibat penggunaan air dari sungai tersebut diminta segera ke hospital atau klinik perubatan berdekatan,” katanya.
Beliau menasihatkan penduduk untuk memaklumkan sahabat handai dan saudara mara yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan untuk menghindari menggunakan air sungai.