Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam ditahan polis malam tadi.
Difahamkan, beliau ditahan ketika sedang bersiaran langsung melalui Facebook di restoran miliknya berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, kira-kira jam 11 malam.
Beliau menerusi siaran langsung bertajuk ‘Setiap MP bakal disogok RM3 juta peruntukan jika Bajet 2021 diluluskan? Biar Betul? itu turut memaklumkan didatangi pegawai polis sebelum menamatkannya
Mengesahkan lagi penahanan itu, beliau turut membuat hantaran di Facebook meminta bantuan peguam.
“Mohon hantar peguam ke JSJT (Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas) Bukit Aman.
“Saya ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Seksyen 506 adalah berkaitan ugutan jenayah.
Sehingga kini, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan berkenaan.
Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan Timbalan Pengarah CID Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi, mengesahkan penangkapan itu dan mengatakan polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.